Wednesday, March 5, 2014

Programming Minda

Semasa saya pulang daripada surau semalam selepas selesai mengerjakan solat Maghrib, terdapat sekumpulan anak-anak muda dihadapan pintu gate surau bermain-main. Saya terdengar dengan jelas, salah seorang daripada mereka berteriak "Akulah penyelamat bumi!" Mendengar kata-kata tersebut, saya terfikir mungkin anak-anak muda ini terpengaruh dengan rancangan televisyen, mungkin Boboiboy atau rancangan alih bahasa.

Beberapa detik selepas itu, saya mula mencermin diri saya. Semasa saya kecil, tidak kurangnya tingkahlaku saya. Saya teringat semasa di sekolah rendah di Muar, saya bermain Ultraman dan raksasa. Saya mengepalai sekumpulan rakan-rakan dan membahagi-bahagikan siapa jadi Ultraman dan siapa jadi raksasa. Memang agak lucu apabila mengenangkan semula kejadian silam, tetapi apa yang lebih penting, apa yang boleh saya pelajari daripada peristiwa tersebut? Kita manusia dipengaruhi oleh rancangan televisyen. Bukan sekadar kanak-kanak, tetapi juga yang dewasa. Cumanya yang dewasa dipengaruhi dengan cara yang lebih matang. Mungkin daripada kisah percintaan daripada siri Winter Sonata (maaf, saya tidak mengikuti trend terkini) atau Ariana Rose, tidak kurang kisah korporat yang sering ada adegan tikam-menikam.

Eksperimen Bobo Doll
Eksperimen Bobo Doll
Albert Bandura seorang ahli psikologi pada tahun 1961 telah melakukan kajian untuk memerhatikan kesan tingkahlaku manusia daripada pemerhatian. Kajian terkenal beliau adalah Bandura and Bobo Doll (Anak patung Bobo). Beliau membawa beberapa orang budak dalam linkungan umur 3 hingga 5 tahun kedalam sebuah bilik yang mana didalam bilik tersebut terdapat sebuah anak patung. Dalam masa 10 minit, terdapat orang dewasa yang melakukan perbuatan ganas terhadap anak patung tersebut termasuk menjerit, memukul, menendang dan menghentak dengan tukul. Kesannya? Kesemua anak-anak tersebut melakukan perkara yang sama terhadap anak patung tersebut.

Beberapa tahun selepas itu, selepas televisyen diperkenalkan, satu lagi kajian dijalankan dimana beliau menggunakan televisyen untuk menayangkan aktiviti keganasan melalui televisyen. Hasil kajiannya - sama. Anak-anak tersebut mula berkelakuan ganas sepertimana yang terdapat dalam rancangan dikaca televisyen tersebut.

Albert Bandura

Social Learning Theory (Teori Pembelajaran Sosial)
Hasil daripada kajian Albert Bandura, beliau memperkenalkan Teori Pembelajaran Sosial dimana terdapat 3 konsep utama iaitu:

1. Manusia boleh mempelajari sesuatu konsep melalui pemerhatian

  • Ini termasuklah pembelajaran daripada televisyen, pemerhatian orang sekeliling, pertuturan dalam memberikan arahan serta melalui simbol yang menerangkan sesuatu maksud.

2. Kedudukan mental dapat mempengaruhi aspek pembelajaran

  • Tidak semua pembelajaran diterima oleh semua orang. Ia bergantung kepada keadaan masing-masing iaitu motivasi dalaman (intrinsic motivation atau internal reinforcement). Dalam ertikata lain perkara dalaman memainkan peranan yang penting atau apa yang kami gelarkan Emotional Drivers.
3. Pembelajaran tidak semestinya merubah perlakuan seseorang
  • Pakar perilaku (behaviour expert) percaya bahawa pembelajaran dapat merubah tingkahlaku seseorang. Namun Bandura kurang bersetuju kerana seseorang boleh mempelajari sesuatu tetapi tidak membawa apa-apa perubahan pun. (mungkin ramai yang setuju dengan pernyataan ini).

Keberkesanan Teori Pembelajaran Sosial
Menurut Bandura lagi, untuk Pembelajaran Sosial memberi kesan terdapat beberapa perkara yang mempengaruhi:
i. Attention -  seseorang perlu memberi perhatian yang cukup semasa pembelajaran berlaku.
ii. Retention - seseorang juga perlu menyimpan maklumat tersebut didalam sistem ingatan mereka.
iii. Reproduction - Melakukannya, yang mana ia akan lebih berkesan sekiranya dilakukan berulang kali.
iv. Motivation - Terdapat faktor motivasi atau sebab sama ada dalaman atau luaran yang menggalakkan seseorang itu melakukan sesuatu perkara tersebut. 

Sekiranya terdapat keempat-empat faktor diatas, ia akan menggalakkan seseorang untuk melakukan sesuatu yang dipelajari daripada penglihatan dan pengamatan seseorang. 

Kesan Terhadap Masyarakat
Apa kesan filem ini terhadap pemikiran dan perilaku kita?
Dewasa ini sering kali terdapat cerita-cerita berkenaan rempit, gangster, bohsia, kurafat dan sebagainya. Perkara ini dapat mempengaruhi anak muda dan dewasa (kurang kesan kerana orang dewasa jarang menonton televisyen dan wayang). Bergantung kepada faktor keberkesanan diatas, sekiranya terdapat sesuatu yang berlaku mungkin ia akan membawa kepada perilaku yang memberi impak negatif.

Beberapa minggu lalu, saya sempat berborak dengan seorang rakan yang berasal dari Chicago, Amerika dan berkahwin dengan wanita Thailand. Beliau pernah menetap di Thailand selama 5 tahun, sebelum berpindah semula ke US. Beliau menceritakan pada masa dahulu, Thailand sangat aman dan tiada unsur-unsur negatif yang ketara. Sehingga beberapa filem ditayangkan dan terjadinya trend cerita-cerita ganas, hari ini Thailand tidak lekang daripada rusuhan. Tidak kira siapa pemimpin, saluran berita tidak pernah jemu melaporkan kejadian-kejadian rusuhan yang mengakibatkan ketidak stabilan politik berlaku di Thailand.

Amerika Syarikat juga tidak kurangnya. Cerita perang semuanya dari sana. Begitulah kisah perang dunia, pasti mereka terlibat. 

Apa Yang Boleh Kita Lakukan
Perhatikan apa yang masuk kedalam minda anak-anak kita. Mungkin sebelum ini kita terlepas pandang, tetapi televisyen merupakan satu alat yang boleh memprogramkan minda anak-anak kita. Bukan sahaja anak-anak, malah kita juga akan terasa kesannya. 

Tidak seronok la sekiranya kita menonton cerita - balik-balik tangkap leleh, nak juga ada aksi. Betul, aksi perlu ada. Tetapi kita perlu mengkaji keberkesanan pembelajaran terhadap diri kita. Muhasabah diri, lihat balik apa kesan filem tersebut terhadap diri kita. Bukan sahaja filem, kadangkala ceramah juga ada kesannya, baik ceramah politik, agama, ilmu perniagaan, ajaran sesat dan sebagainya. Apa yang kita baca juga mempengaruhi pemikiran kita, termasuk laman web yang sering kita kunjungi. Sebab itu timbul pepatah "You are what you read."

Pendek kata, semua maklumat ada di luar sana. Tetapi kita boleh pilih apa yang kita mahu masukkan ke dalam kepala otak kita. Bak kata Nabil "Lu pikir la sendiri, Assalammualaikum!"


Rujukan: 
1. The Brain: A Secret History - Emotions; Bandura Bobo Doll Experiment Watch at youtube