Sunday, August 31, 2014

Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta



Syukur kehadirat Allh swt kerana memberi keizinan kepada aku untuk dilahirkan di Malaysia, bumi bertuah. Bumi yang tidak ada di mana-mana tempat didunia. Warisan yang unik, berbilang bangsa dan bangsa yang saling hormat menghormati. Lahirnya aku dibumi ini dalam keadaan yang aman dan tiada lagi pertumpahan darah. Aku anak merdeka!

Lebih 30 tahun aku menyambut kemerdekaan, tetapi tahun ini merupakan tahun yang aku rasakan agak terkesan sambutannya. Semangat patriotik yang sudah lama tidur dalam diri kini bangkit semula. Tidak seperti tahun-tahun sudah, setiap kali sambutan kemerdekaan pasti disambut dengan laungan merdeka pada jam 12 disusuli konsert dan sekali-sekala letupan bunga api. Manakala dipagi hari pula, acara perbarisan akan dijalankan. Maka lintas langsung di kaca televisyen pasti menunjukkan pancaragam serta badan beruniform berkawad serta memberikan tabik hormat kepada DYMM Agong serta barisan kepimpinan negara.

Tahun ini sambutannya agak berbeza pada diriku kerana ianya sedikit mengusik emosi. Terasa kesannya lebih mendalam berbanding sambutan luaran. Aku juga hairan, tidak pula aku libatkan dalam aktiviti-aktiviti sambutan seperti acara perbarisan yang pernah aku sertai pada tahun 2008. Namun setelah aku fikir-fikirkan mungkin terdapat beberapa faktor yang memberikan makna baru disebalik kemerdekaan yang ke-57:

1. Tema - Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta
Tidak seperti tema tahun sebelumnya - 'Janji Ditepati' yang langsung tidak dapat aku hayati sebagai seorang warga negara. Apa signifikannya janji ditepati dan kemerdekaan. Namun sebelum-sebelumnya juga lebih banyak berkisar tentang perpaduan serta wawasan. (Untuk list penuh sehingga 2011, klik di sini). Walaupun ianya tema yang baik, namun tema kali ini membuatkan seseorang itu merenung kembali sejarah silam dan memberi kesedaran tentang erti sebuah cinta pada tanah air.

Tema kali ini juga tidak lari daripada lirik lagu Allahyarham Sudirman - Warisan yang dinyanyikan penuh dengan emosi yang digali. Sekiranya diberi mikrofon, sudah tentu aku dapat nyanyikan dengan penuh penghayatan dengan melodi yang kuat dan lirik yang mendalam. Lagu ini juga terngiang-ngiang dalam minda semasa memandu atau berehat di rumah. Liriknya sangat menginsafkan. Cuba dengar dan hayati klip video di bawah.




2. Pembebasan Gaza daripada kekejaman Rejim Zionis
Sedang perang secara berterusan berlaku antara Israel dan penduduk Gaza, berita yang tidak dijangka-jangka telah berlaku. Tekanan menyebabkan Israel akur dengan tuntutan penduduk Gaza dan genjatan senjata akhirnya berlaku. Bagi penduduk Gaza, ini adalah satu kemerdekaan. Kisah begini tidak lari daripada perjuangan nenek moyang kita dahulu menentang penjajah. Sifat tidak mengenal erti kekalahan dan sanggup berjuang bergadai nyawa seperti pejuang-pejuang di Gaza dapat memberikan satu erti kemerdekaan yang dalam kepada generasi seterusnya. Bayangkan sekiranya pejuang-pejuang itu menyerah diri dan akur terhadap rejim zionis, sudah tentu penduduk Palestin di Gaza akan terus menjadi pelarian di bumi sendiri dan terpaksa merantau ke negara orang bagi mencari tempat berteduh. Bayangkan sekiranya pejuang-pejuang negara yang dulu menyerah diri kepada penjajah, tidak ada ertinya kemajuan dan kekayaan yang kita miliki sekarang.

3. Kehilangan pesawat MH370 dan tragedi nahas MH17
Kejadian kedua-dua pesawat MH370 dan MH17 telah menjadi satu agen penyatuan kepada kesemua rakyat Malaysia. MH17 juga banyak mengajar aku tentang hidup. Antaranya kehidupan adalah sesuatu yang tidak dijangka. Kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada kita esok. (Life is fragile!) Nyawa kita mungkin akan diambil pada bila-bila masa. Tetapi apabila kita pergi, adakah sesiapa yang akan mengenang kita? Apakah sumbangan yang telah kita berikan kepada agama, bangsa dan negara?
Aku sering bertanya kepada diri aku sendiri, sekiranya esok nyawa aku diambil, apakah erti hidup aku di muka bumi ini? Apa yang telah aku sumbangkan. Adakah cukup dengan memegang watak tambahan dalam satu lagi episod kehidupan? Atau aku memainkan watak utama dengan membuat perubahan? Masa kita terhad.

4. Ketidak stabilan politik
Pasca PRU-13 tidak memberikan sebarang keyakinan, setidak-tidaknya bagi aku, kepimpinan negara tidak dalam keadaan stabil. Kemelut di Selangor tidak ubah seperti lirik anak kecil main api:

"Nenek moyang kaya-raya,
Tergadai seluruh harta benda,
Akibat sengketa di antara kita,
Cinta lenyap di arus zaman."

Bagi pihak kerajaan pula, teguran Tun Mahathir didalam entri blognya memberi isyarat yang jelas tentang tampuk pimpinan yang tidak kukuh. Sekiranya diteliti di surat khabar, semuanya nampak indah dan tiada isu besar. Tetapi penglibatan dalam beberapa NGO telah membuka mata bahawa banyak lagi perkara yang perlu dilakukan. Kita sudah tiada masa. Tahun 2020 tidaklah begitu jauh namun dengan keadaan sekarang, sekiranya kita masih lagi terhegeh-hegeh, orang lain pasti akan meninggalkan kita.

Wahai bangsaku, marilah kita bersatu. Kemerdekaan kita tidak dicapai dengan mudah. Kita perlu bersatu sebagai sebuah negara sebelum kita dapat mencapai kemerdekaan. Dengarkan ucapan pengisytiharan kemerdekaan daripada Tunku Abdul Rahman Putra.


Your browser does not support native audio, but you can download this MP3 to listen on your device.

Malaysia - Disini bermula sebuah cinta.

Apa cerita kemerdekaan anda?
Apa perbezaan kemerdekaan kali ini?
Tinggalkan komen pada ruangan di bawah.