Monday, October 10, 2016

FOKUS PADA KEKUATAN KITA

1. Setiap manusia mempunyai bakat dan kekuatan tersendiri. Kita juga tidak dijadikan sama rata. Kita dicipta dalam keadaan yang pelbagai.

2. Kadangkala kita sering melihat apa yang tidak kena dengan kita dan kita cuba perbetulkan kelemahan kita. Ada kala kita terlupa untuk fokus terhadap apa yang kita bagus kerana mungkin ia terlalu mudah bagi kita.

3. Setiap orang yang hebat di dunia bukanlah hebat dalam semua perkara. Dato' Siti Nurhaliza hanya hebat dalam menyanyi, Dato' Lee Chong Wei hanya hebat dalam bermain badminton, Tan Sri Wahid Omar hanya hebat dalam menguruskan urusan korporat.

4. Tetapi sistem pendidikan kita tidak bersifat sedemikian. Kita disuruh untuk cemerlang dalam semua matapelajaran terutama akademik. Kita disuruh untuk mendapat straight A dalam peperiksaan. Kita disuruh untuk mencapai kecemerlangan akademik dan ko-kurikulum. Hebat serba-serbi.

5. Saya punyai kawan yang sangat minat sukan. Beliau wakil sekolah dalam banyak acara sukan sampai ke peringkat negeri. Tetapi beliau dimarahi oleh guru kerana keputusan peperiksaan yang kurang cemerlang. Akibatnya, beliau tidak lagi dibenarkan untuk terlalu fokus dalam bidang sukan.

6. Sistem pendidikan menyuruh kita menjadi bulat. Hebat dalam semua perkara. Tetapi dalam realiti, jack-of-all-traits tidak pernah menjadi seorang yang sangat hebat dalam dunia.

7. Dunia realiti sangat berbeza. Apa yang kita perlu jadi adalah seperti bintang. Hebat cuma dalam beberapa perkara. Dan kita fokuskan terhadap apa yang kita hebat, dan kita bangunkan diri dalam beberapa perkara tersebut. We just need to sharpen our edge. Dalam masa yang sama kita juga perlu kenal pasti kelemahan kita, supaya kita boleh atur strategi menanganinya.

8. Dalam kita memimpin juga kita perlu kenal pasti kehebatan orang yang kita pimpin, kerana mereka mempunyai bakat dan kekuatan yang berbeza dengan kita. Mereka tidak boleh ikut cara kita untuk mereka berjaya. Formula kejayaan kita tidak boleh digunakan untuk orang lain berjaya.

9. Semua orang suka melakukan perkara dalam bidang yang mereka hebat. Dalam masa yang sama kita juga perlu 'live life awake.' Dengar pada persekitaran dan dapatkan feedback. Hanya disebabkan kita suka menyanyi, tidak menjadikan kita seorang penyanyi yang bagus. Anda boleh rujuk 'Malaysian Idol' untuk melihat situasi ini.

10. Self-Awareness atau kesedaran diri sangat penting untuk kita menjadi seorang yang hebat dan berjaya. Mulakan dengan mengenali diri. Proses ini bukan mudah, dan jika anda kurang pasti tanyalah kepada mereka yang lebih pakar kerana ramai yang dapat membantu.

#johanirwan